
Akhirnya aku berjaya menjejakkan kaki di Nusa Penida, Bali setelah sekian lama memendamkan impian ke sini. 2 kali aku telah travel ke Bali, tetapi belum berkesempatan ke sini. Kali ini, aku nekad untuk menikmati keindahan Nusa Penida, dan apa yang sangat seronok trip kali ini adalah kerana ibu aku travel bersama aku. Kesimpulan untuk trip kali ini, Nusa Penida adalah satu tempat yang wajib anda pergi jika ke Bali. Sangat cantik dan mempersonakan!
Setelah 6 hari kami berada di Lombok, kami mengambil pesawat Lion Air terus ke Denpasar, Bali yang mengambil masa kurang dari 1 jam. Untuk pengetahuan semua, sewaktu aku hendak terbang ke Denpasar, di waktu itu jugaklah aku menggagau mencari supir Nusa Penida.
Akhirnya, dalam beberapa minit, aku mendapat maklum balas dari @wisatanusapenida (IG), dan aku terus bersetuju untuk mengambil perkhidmatan supir diorang. @wisatanusapenida telah direkomendasi oleh rakan facebook aku yang juga telah ke Nusa Penida. Tambahan pula, gambar-gambar yang dimuat turunkan di akaun IG mereka adalah amat menarik.

Sewaktu di balai kelepasan, sempat juga aku menanyakan harga tiket bot dari Sanur ke Nusa Penida dari mereka, beserta perkhidmatan pick-up dari airport Depansar, terus ke Sanur. Cuma 500K untuk berdua. Tanpa berfikir, aku pun bersetuju.
Untuk perkhidmatan supir keesokan harinya, melawat Nusa Penida Timur + Barat, sepanjang hari adalah sebanyak 800K. Walaupun agak mahal berbanding dengan supir yang biasa aku ambik, tetapi aku faham yang jalan-jalan di Nusa Penida adalah amat mencabar. Tambah-tambah lagi, supir yang bersama kami adalah yang terbaik pernah aku jumpa. Sepanjang melawat ke semua tempat, supir aku sentiasa bersama, walaupun turun naik bukit yang amat hazab, dia akan turut serta menolong untuk bawak beg aku lagi. Dialah photographer aku, semua gambar yang sangat awesome, dan semua arahan aku semuanya dituruti. Terbaik! Noktah. 5 bintang!
Perancangan awal adalah aku akan menyewa motorsikal dan akan explore Nusa Penida sendiri. Akan tetapi ibuku ikut sekali, dan beliau mempunyai masalah sakit kaki, maka supir adalah jawapan yang sangat sesuai untuk trip kali ini.
Ini adalah tempat-tempat menarik yang aku dan ibuku lawati sepanjang 3 hari disana.
1. Rumah Pohon Raja Lima Melonteng

Jika anda mencari maklumat mengenai Nusa Penida, pasti gambar suasana rumah pohon ini akan muncul. Rumah Pohon Raja Lima Melonteng adalah destinasi pertama supir aku bawak. Untuk ke rumah pohon ini, anda perlu mendaki ke bawah tebing yang sangat tinggi. Sudah pasti untuk turun adalah mudah, tetapi untuk naik semula adalah sangat hazab jugaklah. Anggap jerlah ini adalah exercise di awal pagi. Bagi aku, sebelum ke sini, baik anda mulakan exercise di rumah sebagai persediaan supaya tak shock sangat nanti semua sendi-sendi. Tapi permandangan adalah sangat indah! Untuk yang jenis adventurous, di sini juga menawarkan perkhidmatan homestay untuk sesiapa yang ingin pengalaman yang berbeza. Gigih kan aku bawak batik Sarawak dibeli di Mydin.
2. Pulau Seribu aka Raja Lima Nusa Penida

Tak dapat pegi Raja Ampat, tak apa, di sini ada Raja Lima! Kawasan ini adalah sama tempat dengan Rumah Pohon Raja Lima Melonteng iaitu di pertengahan jalan turun ke rumah pohon. Berlatar belakangkan kepulauan batu-batu kecil. Unik!
3. Pantai Atuh

Pantai Atuh adalah sebelah sahaja dengan kawasan Rumah Pohon. Tetapi untuk ke Pantai Atuh, anda perlu sekali lagi turun dari tebing yang tinggi. Lebih tinggi dari Rumah Pohon. Tetapi apabila sampai di pantai, fuh, cantik!! Lagipun awal-awal pagi tak ada orang. Jangan lupa ambil gambar dengan berlatarkan batu di belakang tu.
4. Bukit Teletubbies

Samaada anda meminati Tinky Winky, Lala, Dipsy atau Pooh ataupun tidak, jangan lepaskan peluang untuk singgah di Bukit Teletubbies ini. Diberi nama seperti kawasan bukit tempat 4 Teletubbies bermain. Cantik menghijau. Tapi cuaca agak panas semasa aku sampai.
5. Kelingking Beach @ Secret Point
Pantai Kelingking, adalah sebuah tempat yang wajib dilawati jika ke Nusa Penida. Terdapat laluan untuk ke pantai di bawah, tetapi terlalu tinggi untuk dituruni. Jika anda tidak mengejar masa, bolehla turun ke pantai bawah sana. Dikatakan masa untuk naik semula memakan masa lebih kurang satu jam. Hanya untuk yang mempunyai tahap kecergasan yang tinggi. Tetamu yang datang ke sini adalah sangat ramai. Jadi pilihlah masa yang terbaik terutamanya lewat petang, ataupun awal pagi. Kebanyakan spot untuk bergambar, anda perlu mengikut giliran. Jangan lupa ambik gambar atas pokok macam aku tu. Amacam, ada bakat jadi model tak?
6. Angel Billabong


Angel Billabong adalah seperti bidadari Nusa Penida. Tidak dinafikan gambarAngel Billabong lah yang menarik perhatian aku untuk ke sini. Akan tetapi, orang di sini terlalu ramai dan cuaca agak mendung menyebabkan gambar kurang menarik. Aku tidak berkesempatan untuk mandi disini kerana kesuntukan waktu. Hanya bersebelahan dengan Pasig Uug. Kawasan batu disini agak tajam dan boleh menyebabkan kaki anda cedera. Sila gunakan kasut untuk ke sini.
7. Pasig Uug @ Broken Beach


Aku tidak nafikan Pasig Uug adalah sangat menawan dan sungguh unik. Jika anda mempunyai drone, permandangan dari atas adalah seperti bentuk bulat. Dinasihatkan untuk berhati-hati semasa mengambil gambar, kerana tebing adalah sangat tinggi.
8. Crystal Bay


Pantai Kristal atau lebih dikenali dengan Crystal Bay. Akhirnya perjalanan anda dengan melawat Crystal Bay sambil menikmati kilauan emas matahari terbenam disini sambil minum air kelapa yang segar. Sini juga spot untuk diving. Crystal Bay juga dekat dengan Toya Pakeh.
9. Toya Pakeh


Toya Pakeh adalah sebuah kawasan yang dipenghunikan oleh kebanyakan muslim di Nusa Penida. Di sini adalah tempat pelabuhan kebanyakan untuk bot-bot dari Sanur. Pantainya putih dan lautnya sangat biru disini. Di sepanjang pantai, terdapat kedai-kedai Muslim Halal.
Penginapan




Sepanjang 3 hari di Nusa Penida, aku dan emak aku telah tinggal di D'Kubon Palace. Aku tempah bilik disini sehari sebelum kami sampai di Nusa Penida. Hotel yang baru dibuka dan diuruskan oleh keluarga. Sangat bersih. Mempunyai kolam renang juga salah satu sebab utama aku pilih untuk menginap disini. Setelah penat seharian turun naik tebing yang tinggi, boleh lah merehatkan diri di dalam kolam renang. Setiap pagi, makanan di hantar di depan bilik. Jarak sini ke Toya Pakeh lebih kurang dalam 20 minit dengan menggunakan motorsikal. Bagi yang nak jimat dan senang mendapatkan makanan halal, anda bolehlah mencari penginapan di Toya Pakeh.
Let’s check the price and book for D'Kubon Palace at:
|
Makanan Halal






Aku di sini juga mengambil motorsikal sewa, 50k sehari dan tak perlu pergi jauh, cuma aku suruh tuan hotel itu carikan. Sebab utama untuk ada motorsikal, supaya kami senang untuk mendapatkan makanan halal yang cuma terdapat di kawasan Toya Pakeh. Tengahhari dan malam, semua kami makan di sini. Terdapat beberapa restaurant, harga agak mahal berbanding dengan harga makanan lokal, tetapi masih lagi berpatutan.
Pengangkutan





Kami ke Nusa Penida dari Sanur dengan menggunakan bot laju Angel Billabong. Dinasihatkan untuk menggunakan pakaian yang sesuai disebabkan untuk ke bot, anda perlu mengharungi air pantai yang tingginya boleh mencecah paha. Kami berdua, dari Denpasar airport sehingga ke Nusa Penida, kami bayar 500K, untuk balik pula, harga tiket adalah dalam 150K seorang. Dinasihatkan ambil dengan agen, supaya harga boleh lagi murah. Perjalanan mengambil masa 30 minit, tempat duduk di dalam bot adalah sangat sempit jika anda mempunyai kaki yang panjang ataupun berbadan besar.
Tips
1. Ada beberapa pilihan untuk explore Nusa Penida. Untuk yang merancang tidak bermalam di sini, anda boleh pegi sendiri, sampai di jeti, anda boleh terus sewa motorsikal, dan ambil tiket balik terakhir ke Sanur iaitu pada jam 1630hrs. Ataupun anda boleh beli terus pakej untuk explore Nusa Penida dengan syarikat bot. Ada beberapa pakej ditawarkan, kenderaan menggunakan van.
2. Kebanyakan jalan disini ada yang sangat curam. Ada juga yang berbatu dan merbahaya untuk motorsikal. Di nasihatkan satu motorsikal untuk seorang sahaja, lebih baik. Beberapa kali kami terjumpa pelancong yang cedera menunggang motorsikal disini. Jalan ke Broken Beach adalah salah satu jalan yang sangat terburuk untuk penunggang motorsikal, jadi berhati-hatilah.
3. Jika anda menggunakan bot laju dari syarikat Angel Billabong, jeti adalah sangat dekat dengan Toya Pakeh, anda boleh terus ke Toya Pakeh untuk mencari bilik. Cuma jalan dalam 5 minit. Di sana, kebanyakan makanan adalah Halal.
4. Untuk memaksimakan tempat lawatan, mungkin 3 hari dah cukup untuk pergi ke semua tempat. Ada banyak lagi tempat, yang aku senaraikan cuma aku pergi sehari sahaja.
5. Kebanyakan kawasan ada yang talian telefon terputus.
6. Rancang perjalanan anda, kalau tidak anda mungkin akan bertembung dengan kumpulan-kumpulan tour yang akan menyebabkan kawasan sesak dan tidak sesuai untuk mengambil gambar.
7. Jika ke Nusa Penida, sediakan sedikit kecergasan kerana kebanyakan tempat memerlukan turun naik tebing yang tinggi.
8. Sila guna kasut dan sesuai untuk pendakian. Ada juga kawasan yang penuh dengan batu karang yang tajam.
9. Berhati-hati ketika selfie dan bergambar. Kita tidak mahu sebarang kecelakaan berlaku.
10. Hormati budaya dan adat orang sana.
11. Tempat tiket balik awal.
COMMENTS