Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri meneruskan langkah proaktif ke arah merancakkan industri pelancongan Negeri Selangor dengan pelaksanaan Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”
Kempen ini mula diwar-warkan melalui landasan digital bermula pada 10 Jun yang lalu, susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Umum mengetahui, industri pelancongan merupakan antara yang paling terjejas ekoran impak dari pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Sebahagian operator pelancongan perlu menutup operasi atau beroperasi tanpa keuntungan dan golongan yang bergantung pada industri pelancongan pula terjejas pendapatan, malah ada yang hilang mata pencarian.
Memahami situasi ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menjadi pendahulu dalam pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi dan juga Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 yang telah diumumkan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 13 Julai lalu. Antara yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 adalah Pakej Bantuan Sektor Pelancongan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 2,600,000.00.
Pakej Bantuan Sektor Pelancongan ini turut merangkumi penerbitan subsidi “Baucar Pelancongan Negeri Selangor” dengan nilai peruntukan sebanyak RM 2,000,000.00.
Penggunaan baucar ini adalah dalam bentuk pengembalian mata nilai dompet elektronik dan baucar eletronik sebanyak RM 200.00 seorang untuk penerima yang layak. Baucar ini perlu digunakan bagi pakej-pakej pelancongan terpilih yang akan melalui penyenaraian di aplikasi dompet elektronik Touch ‘n Go e-Wallet dan aplikasi ‘marketplace’ Lazada Malaysia melalui capaian khas pautan sesawang mikro ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’.
Penebusan subsidi baucar pelancongan ini akan membuka promosi jualan di kedua-dua landasan e-dagang tersebut bermula pada 8 hingga 31 Januari 2021 dengan tempoh sah-laku bagi pakej yang telah dibeli sehingga 30 Jun 2021.
Pihak Tourism Selangor juga mensarankan kepada para pelancong untuk mengamalkan norma baharu yang menekankan SOPs (Standard Operating Procedures) mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa melancong ke Negeri Selangor.
Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor agar Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” dapat memberikan impak yang signifikan ke arah membangunkan semula industri pelancongan domestik Negara, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel atau di :-
COMMENTS