Kisah “travel” aku di Palembang boleh dikatakan agak drama. Seperti biasa, aku dengan drama berpisah tiada. Drama itulah yang menyeronokkan. Pertama sekali adalah aku hampir terlepas penerbangan, kedua kaunter imigresen Palembang yang sangat ketat, ketiga “travel partner” aku tidak dapat ikut serta secara “last minute” dan terakhir semasa aku di sana, aku telah demam panas untuk 2 hari 2 malam dan menyebabkan aku Cuma sempat untuk “explore” Palembang untuk satu hari sahaja.
Walaupun hanya sehari, aku sempat mencuba beberapa makanan tempatan di sana. Indonesia memang tidak dinafikan mempunyai banyak makanan yang menarik dan sedap. Dan inilah hasilnya:
1. Pempek Panggang
Walaupun nama makanan ini agak lucu di dalam bahasa kita, tetapi Pempek ataupun lebih dikenali sebagai empek-empek adalah merupakan makanan yang paling popular di Palembang. Aku mencuba pempek untuk pertama kalinya di restoran “Pempek Saga – Sudi Mampir”. Pendapat aku, Pempek rasanya seperti keropok lekor / bebola ikan, tetapi rasa ikannya adalah kurang sedikit dan lebih kepada tepung berbanding ikan. Untuk Pempek Panggang, ianya seperti bentuk roti telur, tetapi dipanggang di atas daun pisang, dan dimakan dengan cicah kicap pedas.
2. Pempek Bulat
Boleh dikatakan adik-beradik kepada pempek, ianya digoreng agak menyerupai seperti keropok lekor tetapi bentuknya adalah bulat. 5 biji pempek bulat boleh membuatnya perut anda penuh. Aku menikmati pempek bulat ini di restoran “Pempek Saga – Sudi Mampir” beserta dengan menu Pempek Panggang
3. Mie Celor HM Syafie Z 26 Hilir
Perjalanan diteruskan dengan mencuba satu lagi menu khas Palembang iaitu Mie Celor. Aku adalah seorang peminat masakan mee. Mie Celor ini boleh disamakan seperti Mee Jawa di Malaysia, tetapi warna kuahnya lebih lembut. Boleh tahan sedap.
4. Martabak HAR
Jika ke Palembang, jangan lupa untuk mencuba Martabak HAR. HAR adalah singkatan untuk Haji Abdul Razak, iaitu seorang saudagar berasal dari India yang telah meninggal dunia pada tahun 2001. Martabak ini telah diperkenalkan oleh beliau. Martabak ini adalah seperti telur tetapi lebih tebal dan padat. Di makan dengan kari bercampurkan kentang, berbeza dengan Malaysia, martabak ini jugak dimakan dengan kuah kicap bercampurkan cili. Restoran Martabak HAR mempunyai banyak cawangan di sekitar bandar Palembang.
5. Jejamuran Goreng
Ketika di Palembang, aku menginap di Hotel Khalifah. Kebetulan di hadapan hotel ini terdapat sebuah restoran yang menjual cendawan goreng. Jejamuran bermaksud cendawan. Layan jugak makan cendawan goreng petang-petang. Sebab tamak haloba, maka aku hanya makan sedikit sahaja, lagipun selera makan kurang disebabkan demam dan kurang sihat.
6. Pisang Goreng Cheese
Pisang Goreng cheese di Indonesia memang tidak menghampakan. Sama kedai yang menjual cendawan goreng, di hadapan Hotel Khalifah, hotel yang aku tinggal. Tetapi satu hidangan adalah begitu banyak sekali, aku cuma makan 3 ketul pisang goreng. Keju dia, perghhhh….
Itu sahaja makanan yang sempat aku cuba sepanjang di Palembang. 2 hari aku tidak keluar bilik disebabkan demam panas, kalau tidak, mungkin senarai makanan lebih panjang dari ini. Disebabkan Palembang kurang tempat-tempat yang menarik, maka anda bolehlah pergi mencuba makanan-makanan khas di sana dan mencari restoran yang terbaik. Insyaallah, jika ada rezeki aku akan ke Palembang lagi untuk menambahkan senarai makanan ini.
COMMENTS